Thursday, November 17, 2016
16 Tahun di SMK Sultan Tajul Ariffin,
Saya mula melapor diri sebagai guru di SMK Sultan Tajul Ariffin, Manong pada 4 Januari 2001 (Khamis). Rakan-rakan seperjuangan saya, Cikgu Rosshapawi, Cikgu Jamil dan Cikgu Rozlan melapor diri lebih awal iaitu pada 2 Januari 2001 (Selasa) kerana mereka mendapat surat penempatan lebih awal. Atas nasihat daripada Cikgu Manisah, Penolong Kanan HEM ketika itu, saya merujuk perkara ini kepada PPD Kuala Kangsar dan saya ditempatkan di sini dengan sekeping kertas memo daripada Timbalan PPD kepada pengetua. Surat penempatan sebenar dipos kemudian. Ini lebih baik kerana sebelum itu, saya ada menelefon JPN Perak. Katanya nama saya berada di SMK Simpang Beluru, Enggor. Saya tidak tahu di mana Enggor sebab itulah kali pertama saya mendengar nama tempat itu.
Sebenarnya saya sudah datang ke sini lebih awal lagi iaitu pada tahun 2000 ketika menjalani latihan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) Maktab Perguruan Teknik selama dua minggu. Ketika itu, saya tinggal di Kuarters Ladang Koop PEHUMA di Kampung Simpang Tiga, Parit. Cuma saya tidak pernah masuk ke kawasan sekolah ini. Hanya lalu untuk ke Kuala Kangsar sahaja kerana saya belajar di Madrasah Idrisiah. 2 orang adik saya adalah bekas pelajar sekolah ini
Kali pertama masuk ke bilik guru selepas melapor diri, saya disapa mesra oleh guru-guru di sini. Antara yang saya ingat termasuklah Cikgu Zulkifli, Cikgu Badrul Hisyam, Allahyarham Cikgu Azam dan Ustaz Al-Bakri. Terasa seperti baru semalam melapor diri. Pada masa itu, bilik guru terletak di surau sekarang sehingga ke bilik Penolong-Penolong Kanan. Antara tempat guru lelaki dan guru perempuan terdapat ruang rehat dilengkapi set sofa rotan. Makanan yang dibawa oleh guru-guru diletakkan di situ untuk kudapan sewaktu masa terluang.
Opsyen utama saya ialah Prinsip Perakaunan dan Ekonomi Asas. Semasa saya sampai di sini subjek-subjek tersebut diajar oleh guru-guru yang lebih senior iaitu Cikgu Noriani dan Cikgu Badrul Hisyam. Jadi, saya ditawarkan untuk mengajar Pendidikan Seni, Geografi dan Kemahiran Hidup. Selepas beberapa bulan, saya mengajar subjek Matematik dan Kemahiran Hidup sahaja sehinggalah tahun 2006 kerana pada tahun 2007 saya mula mengajar Ekonomi Asas kerana Cikgu Badrul Hisyam bertukar ke SMK Simpang Beluru, Enggor. Saya berkesempatan menjadi Jurulatih Utama Daerah untuk subjek Kemahiran Hidup (Perdagangan dan Keusahawanan). Subjek lain yang saya pernah ajar ialah Fizik kerana guru Fizik, Cikgu Jamil berkursus selama 3 bulan. Saya bukannya pelajar aliran sains dan tidak pernah belajar Fizik. Maka, saya terpaksa belajar sendiri untuk mengajar pelajar Tingkatan 5 Sains yang akan menduduki SPM.
Di sekolah ini saya dapat belajar pengetahuan baharu dalam unit beruniform Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan permainan Sofbol. Saya masih bergiat aktif dalam BSMM sehingga sekarang di peringkat daerah dan negeri sebagai Jurulatih dan Setiausaha Kehormat BSMM Cabang Kuala Kangsar. Saya dapat membawa ahli-ahli BSMM sekolah ini ke perkhemahan daerah, negeri dan kebangssan. Semasa di Maktab Perguruan, saya menyertai pasukan Pengakap.
Pasukan sofbol sekolah mula ditubuhkan ketika sekolah menjadi tuan rumah permainan tersebut pada tahun 2006. Allahyarham Cikgu Azam bersungguh-sungguh melatih pemain ketika itu. Saya dipilih oleh Cikgu Azam untuk membantunya sehinggalah beliau kembali ke Rahmatullah pada tahun 2010. Selepas itu, saya dan beberapa orang guru meneruskan usaha beliau dalam permainan ini. Dalam permainan ini, saya pernah menjadi pengurus pasukan Daerah Kuala Kangsar ke MSSPk.
Dari pandangan saya, pelajar SMK Sultan Tajul Ariffin amat berpotensi untuk berjaya sama seperti pelajar-pelajar lain di luar sana kerana telah terbukti sebelum ini dengan kejayaan demi kejayaan. Cuma perlukan penekanan yang lebih terhadap disiplin dan akademik. Sehingga kini, saya berpuas hati mengajar di sini disebabkan hubungan baik sesama guru dan staf seperti sebuah keluarga yang besar. Pelajar-pelajarnya juga masih boleh dibentuk dan perlukan lebih perhatian kerana di luar sana ada bermacam-macam cabaran seperti masalah keluarga, kesempitan hidup dan persekitaran yang kurang memberansangkan. Kerjasama yang baik antara sekolah, ibu bapa dan komuniti mampu mengubahnya.. InsyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment